You are currently viewing Kisah hidup 5 Permata Pintar Negara untuk pengajaran

Kisah hidup 5 Permata Pintar Negara untuk pengajaran

 

Malaysia memiliki  beberapa individu yang dilahirkan secara semula jadi sebagai seorang yang genius atau mempunyai kepintaran luar biasa. Namun, nasib hidup mereka bukanlah seindah yang disangkakan. Mari kita selami sedikit-sebanyak kisah lima pelajar genius kelahiran Malaysia yang sungguh menyayat hati.

1. Sufiah Yusof

Siapa tidak mengenali genius Matematik kelahiran United Kingdom ini? Dilahirkan pada tahun 1984, Sufiah pertama kali mencuri tumpuan dunia pada tahun 1997 apabila berjaya masuk ke Kolej St. Hilda, Universiti Oxford untuk mempelajari bidang matematik pada seawal umur 13 tahun. Biarpun berwarganegara British, kerajaan Malaysia mengambil keputusan untuk membiayai perbelanjaan pendidikan Sufiah. Ternyata, kisah silam bapanya yang berketurunan Pakistan, disabitkan kesalahan jenayah kerana penipuan berkaitan gadai janji sama sekali tidak menjejaskan reputasi Sufiah.


Berikutan tekanan dan masalah rumahtangga, Sufiah dua kali tersungkur dan akhirnya nekad berhenti belajar pada tahun ketiga di universiti berprestij itu. Beliau juga pernah berkahwin ketika berusia 19 tahun, namun kemudiannya bercerai. Sejak itu, rakyat Malaysia dikejutkan dengan sebuah video di mana Sufiah membuat pengakuan bahawa dirinya mula terlibat dengan kegiatan pelacuran berikutan kesempitan hidup yang dialaminya.

Kerajaan Malaysia melancarkan “Program Menyelamatkan Sufiah” untuk membawanya kembali ke pangkal jalan, tetapi tidak lama selepas itu menghentikannya atas faktor-faktor tertentu. Menerusi temuramah dalam sebuah program televisyen terkenal, Nona pada tahun 2015, Sufiah menjelaskan bahawa kehidupannya kini agak kucar-kacir kerana terpaksa berpindah-randah di bandar-bandar yang berbeza di Britain. Ini adalah bagi melarikan diri serta mengelakkan daripada diburu oleh pihak media di sana. Beliau bagaimanapun telah meninggalkan kancah pelacuran.

2. Shukri Hadafi Mohamed

Shukri Hadafi Aziz merupakan kanak-kanak pintar yang pernah menggemparkan negara sekitar tahun 1980-an. Pada usia semuda tiga tahun, beliau telah mampu membaca suratkhabar dengan lancar seperti orang dewasa. Shukri merupakan anak kepada Aziz Kechik, seorang peneroka di Felda 12, Jengka, Pahang. Selepas itu, pasangan suami isteri yang tinggal di Merbau Pulas, Kedah telah mengambil beliau sebagai anak angkat.

Malah, kepintaran Shukri ini telah berjaya menarik perhatian Naib Canselor Universiti Malaya, Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz, yang turut mengambil Shukri sebagai anak angkatnya. Barangkali mahu menjadikan Shukri sebagai pelapis yang hebat sepertinya, Ungku Aziz telah menanggung segala perbelanjaan bagi keperluan pembelajaran demi memastikan Shukri mendapat pendidikan yang lebih baik.

Namun, kelebihan yang dimiliki Shukri menyebabkan beliau lupa daratan dan lalai dengan masa hadapannya. Oleh sebab masalah disiplin yang berterusan, akhirnya beliau telah dibuang sekolah. Pada tahun 1990-an, rakyat sekali lagi dikejutkan dengan berita penemuannya yang bekerja sebagai penebar roti canai. Malah, terdapat desas-desus mengatakan beliau terjebak dengan najis dadah.

3. Chiang Ti Ming

Chiang Ti Ming merupakan pelajar termuda di California Institute of Technology (CalTech). Seawal umur 15 tahun, beliau berada dalam kalangan “Top 5%” yang mendapat keputusan terbaik. Bukan itu sahaja, Chiang turut berjaya menjadi pelajar termuda yang menerima “Anugerah Merit Pelajar Sarjana Muda” selama dua tahun berturut-turut di institut berprestij tersebut.

Beliau juga merupakan ahli kehormat Tau Beta Phi, iaitu sebuah persatuan kejuruteraan kebangsaan. Pada usia 13 tahun, beliau telah diterima untuk belajar di tahun kedua bagi kos ijazah Fizik selama empat tahun di universiti berkenaan pada tahun 1989, selepas menerima tajaan daripada beberapa organisasi. Namun, pada tahun 2002, Chiang telah dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur selepas disyaki mengalami gejala kemurungan dan tekanan perasaan yang amat teruk. Beliau meninggal dunia pada 6 Januari 2007 di Seremban pada usia 33 tahun.

4. Nur Fitri Azmeer Nordin

Pada tahun 2015, Malaysia sekali lagi digemparkan dengan berita penangkapan seorang pelajar genius Matematik tajaan MARA, Nur Fitri Azmeer Nordin, kerana memiliki 30,000 gambar lucah kanak-kanak, di mana di antaranya yang diambil oleh beliau sendiri. Beliau kemudiannya dijatuhkan hukuman penjara selama 5 tahun di United Kingdom kerana kesalahan tersebut.

Pihak Polis Metropolitan berjaya mengesan aktiviti tidak bermoral Nur Fitri selepas menemui satu akaun internet miliknya yang telah memuat turun ribuan video dan imej lucah kanak-kanak. Pada November 2014, pihak polis menggeledah kediamannya di Queensborough Terrace, West London, dan menemui komputer riba kepunyaan Nur Fitri yang masih terbuka bersebelahan sebuah patung kanak-kanak.

Kemudian, polis mendapati Nur Fitri memiliki 601 buah video dan imej lucah Kategori A. Lebih mengejutkan, pihak MARA tidak mengambil tindakan tegas terhadap pesalah ini. Malah, MARA sanggup menawarkan biasiswa kepada Nur Fitri bagi meneruskan pengajiannya di universiti tempatan sebaik beliau tamat tempoh hukuman penjara.

5. Adi Putra

Hampir sedekad yang lalu, Malaysia dikejutkan dengan kemunculan seorang kanak-kanak genius Matematik, Adi Putra, yang mampu menyelesaikan pelbagai masalah dalam subjek tersebut seperti algebra, indeks dan trigonometri. Biarpun baru berumur 6 tahun, Adi Putra Abdul Ghani mengakui kepintaran luar biasa yang dimilikinya adalah kurniaan Allah untuknya.

Beliau dinobatkan sebagai Ahli Matematik Islam abad ke-21 oleh Universiti Riau di Indonesia pada tahun 2009. Selain itu, Adi juga telah menghasilkan 235 formula Matematik dan 12 daripadanya telah diterbitkan dalam sebuah buku berjudul \”Seni Matematik Islam\”. Namun, ia tidak mendapat pengiktirafan di Malaysia.

Beberapa tahun selepas itu, ramai pihak mula bimbang apabila Adi Putra nekad untuk berhenti belajar di Sekolah Islam Antarabangsa, Gombak kerana menyifatkan sistem pendidikan yang disediakan tidak sesuai dengannya. Kini, beliau aktif memberi ceramah di sekolah dan universiti tempatan dan dijemput menjadi tenaga pengajar di University of Brunei Darussalam.

Kesimpulan

Kisah-kisah ini menunjukkan bahawa walaupun mereka sangat berbakat, banyak cabaran dan masalah yang mereka hadapi dalam hidup. Semoga kisah ini memberi inspirasi untuk memberikan sokongan dan pemantauan terhadap insan insan memiliki kepintaran luar biasa ini.

Leave a Reply