Kejadian Curi Beg Tangan di Pasaraya Pandamaran: Pencuri Telah Ditangkap

SHAH ALAM: Seorang wanita ditahan polis selepas mencuri beg tangan dalam sebuah pasar raya di Pandamaran, Klang, petang Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong, berkata pihaknya menerima laporan polis yang dibuat oleh mangsa, seorang wanita tempatan berumur 39 tahun pada jam 2.39 petang, 1 Januari lalu.

\”Menurut pengadu (mangsa), pada jam 12.15 tengahari hari berkenaan, ketika membeli barang di pasar raya itu, dia mendapati beg tangannya hilang disyaki dicuri individu tidak dikenali.

\”Hasil siasatan melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV), ketika pengadu mengambil barang di dalam pasar raya itu, dia meletakkan beg tangan di troli. Siasatan mendapati, suspek iaitu seorang perempuan mengambil beg tangan mangsa dan terus beredar dari situ,\” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hoong Fong berkata, siasatan lanjut mendapati pengadu kehilangan dokumen peribadi, satu unit tablet, satu unit telefon bimbit, dan sejumlah wang tunai, dengan kerugian sebanyak RM3,000.

Susulan laporan dibuat oleh mangsa, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan membuka satu kertas siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama 10 tahun dan denda.

\”Bertindak atas maklumat, kira-kira jam 1 pagi Khamis, polis menahan seorang wanita tempatan berumur 37 tahun di sebuah rumah di Bandar Bukit Tinggi, Klang. Dalam tangkapan itu, polis menemui semula semua barang milik pengadu yang dicuri oleh suspek. Semakan mendapati, suspek yang ditangkap tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

\”Kertas siasatan dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya dan mendapat arahan untuk mendakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Klang,\” katanya.

Justeru itu, polis menasihatkan orang ramai untuk sentiasa berwaspada ketika berbelanja.

Leave a Reply